Etika berpakaian ketika temuduga adalah perkara yang dilupakan kebanyakkan calon. Perkara yang paling penting ketika hadir ke temuduga adalah tanggapan pertama oleh bakal majikan. Tanggapan pertama oleh penemuduga bergantung kepada apa yang kita pakai ketika hadir dan rupa paras. Oleh kerana itulah, adalah disarankan untuk berpakaian professional tanpa mengira apa sekalipun jawatan yang dipohon.
Apakah kod etika berpakaian ketika hendak menghadiri temuduga? Kita bukan sahaja mahukan tanggapan pertama yang baik tetapi hebat. Secara umumnya, calon yang hadir berpakaian kot dan bertali leher adalah lebih baik daripada calon yang hadir ke temuduga hanya memakai seluar jeans dan sehelai t-shirt.
Penampilan seperti cara berpakaian dan kebersihan diri memainkan peranan penting dalam menentukan keperibadian seseorang daripada kaca mata orang lain. Faktor itu juga memberi makna kepada penemu duga yang memerhatikan cara anda menampilkan diri, apatah lagi jika seseorang bakal menjadi eksekutif atau kakitangan di organisasi mereka.
Penampilan hendaklah sederhana dan tidak keterlaluan, di samping menggambarkan anda sebagai pekerja yang mementingkan penampilan. Keselesaan cara mengenakan pakaian juga amat penting kerana sekiranya pakaian tidak selesa, terlalu ketat dan tidak sesuai ia akan mengganggu anda. Terdapat individu yang mengambil inisiatif dengan membeli pakaian baru sebagai persediaan menghadiri temu duga. Namun, masih ada yang tidak mengambil kisah mengenai perkara ini, mungkin kerana tidak mengetahui peraturan dan etika berpakaian ketika menghadiri temu duga.
Jangan ada lepasan universiti yang menghadiri temu duga hanya berpakaian seluar jeans dan kemeja-T kerana penampilan sebegitu melambangkan beliau tidak tahu tata cara menghadiri temu duga. Berpakaian seperti itu amat tidak sesuai untuk menghadapi temu duga. Bagi yang tidak mengambil peduli perkara itu, mereka harus sedar bahawa pandangan pertama panel penemu duga amat penting dalam menentukan sama ada anda berjaya atau gagal dalam sesuatu temu duga.
Berikut adalah senarai apakah yang boleh dipakai ketika menghadiri temuduga untuk jawatan yang professional, kasual dan syarikat yang baru dibuka.
Etika Berpakaian Ketika Temuduga Untuk Lelaki
- Suit (warna senada – biru tua atau kelabu gelap)
- Baju kemeja lengan panjang (putih atau yang senada dengan warna suit)
- Tali pinggang
- Tali leher
- Stokin berwarna gelap, kasut kulit gelap
- Jangan atau kurangkan penggunaan barang kemas (cincin,subang dll)
- Rambut yang kemas
- Kuku pendek
- Beg “briefcase” atau yang terhampir (beg sandang sebenarnya tidak sesuai)
Etika Berpakaian Ketika Temuduga Untuk Wanita
- Suit (warna senada – biru tua atau kelabu gelap)
- Sekiranya memakai skirt untuk dipadankan dengan suit haruslah panjang yang membolehkan anda duduk dengan selesa
- Baju Blouse yang bersesuaian
- Pakaian Tradisional yang tidak menjolok mata (ketat atau pendek)
- Bertudung yang tidak serabut dan warna yang bersesuaian dengan warna baju dan seluar
- Kasut bertutup berwarna gelap
- Jangan atau kurangkan penggunaan barang kemas (subang yang bergantungan atau lengan yang penuh dengan bracelet, dll)
- Rambut yang kemas
- Stokin pantyhose berwarna neutral
- Make-up nipis dan sedikit minyak wangi
- Kuku pendek
- Beg yang bersesuaian