Kemahiran Yang Diperlukan Sebagai PTD

ptd

ptd

 

10 Kemahiran Yang Diperlukan Semasa Bertugas sebagai PTD

Berdasarkan pemerhatian seorang sahabat yang bertugas di beberapa tempat, saya dapati wujud beberapa kemahiran yang perlu dikuasai semasa bertugas sebagai seorang PTD. Kemahiran-kemahiran ini penting kerana ia memudahkan tugasan dan membantu jabatan.

Tanpanya sukar untuk bergerak cergas dan menghasilkan output. Namun kemahiran-kemahiran ini bergantung kepada gred dan kedudukan anda dalam sesebuah organisasi. Kemahiran berkenaan adalah seperti berikut:

1. Kemahiran berkomunikasi secara lisan, tulisan dan perbuatan. Sebagai contoh menulis memo dan surat, berucap di hadapan orang ramai, bercakap dengan penyelia dan sebagainya.
2. Kemahiran berbahasa yakni bahasa Melayu, Inggeris dan bahasa ketiga.
3. Kemahiran memberi cadangan penyelesaian dan bukannya menyatakan permasalahan sahaja.
4. Kemahiran merekod setiap hasil kerja dan rujukan.
5. Kemahiran mengadaptasi cara kerja yang berbeza di tempat tugas berbeza. Ini kerana setiap tempat bertugas mempunyai objektif dan fungsi asasnya tertentu.
6. Kemahiran berpakaian dan imej diri. Perhatikan cara pakaian orang yang lebih kanan dan dianggap berjaya.
7. Kemahiran mendisiplinkan diri dan orang yang di bawah tanggungjawab.
8. Kemahiran membaca dan bertindak mengikut ketua.
9. Kemahiran mencari sumber rujukan tugasan.
10. Kemahiran merancang tugasan dan kewangan.

Kesemua kemahiran ini pada hemat saya perlu dimiliki oleh setiap PTD agar mampu menjalankan tugas dengan baik. Kemahiran-kemahiran ini juga tidak semestinya dikuasai serta merta. Adalah lebih baik dikuasai secara beransur-ansur agar ia menjadi tabiat.

Tip dan Pengalaman Bertugas Sebagai PTD

Baru-baru ini, seorang sahabat saya seorang PTD menghadiri satu sesi perkongsian pengalaman sebagai diplomat. Ia disampaikan oleh bekas duta Malaysia yang pernah berkhidmat di Jepun, Britain dan Australia. Sesi selama dua jam tersebut sahabat saya terasa tidak cukup untuk memberi peluang kepadanya bercerita pengalamannya. Beliau juga sempat menunjukkan foto-foto beliau bersama pemimpin-pemimpin dunia dan kenangan bertugas. Bagi yang berminat bertugas di luar negara sebagai diplomat, antara ciri yang diperlukan yang sempat dicatit adalah seperti berikut:

1. Memiliki daya keyakinan yang tinggi.
2. Ilmu pengetahuan.
3. Mudah menyesuaikan diri.
4. Berdikari.
5. Boleh berinteraksi dengan baik.
6. Kreatif.

Memiliki daya keyakinan yang tinggi diperlukan kerana diplomat mewakili negara. Andalah mata, telinga dan mulut bagi negara di luar sana. Tingkah laku anda sentiasa diperhati oleh wakil-wakil negara lain.

Seorang diplomat perlu tahu serba serbi. Antara perkara perlu diketahui adalah dasar-dasar negara, isu-isu semasa, mahir bahasa tempatan, pandai memasak, pandai menulis, pandai berucap dan pandai mengurus rumah tangga. Perkara utama untuk diketahui apabila sampai di sesuatu tempat bertugas adalah mengetahui di mana hospital, kedai, pasar dan lain-lain tempat yang akan selalu dikunjungi. Siapkan perkara peribadi di samping tugasan di pejabat.

Salah bahan bacaan semasa bertugas di luar negara adalah membaca media utama negara berkenaan bagi mengetahui situasi semasa negara berkenaan. Ruangan yang perlu dibaca adalah ruangan pengantar editor (lidah pengarang). Ini kerana ruangan ini mengandungi isu utama dan kupasannya. Seterusnya memudahkan laporan dibuat untuk dihantar ke ibu pejabat di Malaysia kelak.

Sikap berdikari pula penting kerana tiada ibu bapa dan saudara duduk berdekatan untuk diharapkan. Adakalanya seorang diplomat perlu menjaga isterinya berpantang selepas melahirkan anak. Justeru kepandaian mengurus rumah tangga, memasak dan lain-lain diperlukan.

Bercerita mengenai tokoh diplomat yang mengendalikan sesi kali ini, beliau pernah bertugas 15 tahun tanpa pulang lama di negara. Pulang pun untuk mengambil surat watikah daripada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan terus ke negara yang ditugaskan. Dek kerana lamanya bertugas di luar negara, kesannya beliau tidak kenal jalan-jalan di Malaysia, nama-nama penyanyi popular tanahair dan sebagainya.

Pernah sekali semasa beliau di London, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza pergi menemui beliau bagi persiapan konsertnya di sana pun beliau tidak kenal.

Bercerita tentang skop tugas pula, seorang diplomat memiliki skop tugas yang pelbagai. Menyambut pemimpin negara, menguruskan kematian rakyat negara, menguruskan persidangan, mengadakan sambutan Hari Raya bagi pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara dan bermacam-macam lagi. Yang jelas, sebarang tugasan perlu dibuat dengan sebaiknya kerana adakalanya ia datang tanpa diduga.

Jadi anda perlu bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menjadi seorang PTD yang baik kerana anda sentiasa diperhatikan oleh orang disekeliling anda.

Thanks for Reading

Enjoyed this post? Share it with your networks.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.